Header Ads

maskhead_ads_728x90_amanpalestin

Sepanyol kekal rekod tanpa kalah

VILA-REAL, Sepanyol: Ricardo Rodriguez menyamakan kedudukan untuk Switzerland yang mengikat pasukan pilihan Piala Dunia, Sepanyol 1-1 dalam perlawanan persahabatan terakhir mereka di laman sendiri sebelum berangkat ke Russia minggu depan.

Bek kanan Real Sociedad, Alvaro Odriozola meletakkan Sepanyol di depan pada minit ke-29 di Vila-real dengan rembatan voli dari luar kotak penalti. Ia adalah penampilan ketiga pemain itu di peringkat antarabangsa.

Percubaan Andres Iniesta sejurus sebelum rehat dinafikan penjaga gol Switzerland Yann Sommer, dan pemain tengah veteran itu sekali lagi hampir meledak gol di babak kedua sebelum dikeluarkan. Dia mendapat tepukan gemuruh penyokong menjelang perpindahannya ke Jepun.



Pertahanan AC Milan, Rodroguez menyamakan kedudukan buat skuad kendalian Vladimir Petkovic, yang juga akan beraksi di Piala Dunia, pada minit ke-60 dengan tolakan mudah selepas David de Gea menampan lemah bola percubaan daripada Stephan Lichtsteiner.

Sommer kemudian sekali lagi tampil cemerlang ketika menyelamatkan percubaan penyerang Valencia Rodrigo, manakala rembatan Nacho terkena tiang.

Sepanyol kini melebarkan deretan tanpa kalah kepada 19 perlawanan di bawah kendalian Julen Lopetegui.

"Secara peribadi saya gembira kerana dapat membantu pasukan. Kami rasa selesa di luar sana, perlawanan ini akan membantu kami untuk mendapatkan keseimbangan," kata Odriozola, 22, yang bermain untuk pasukan simpanan Real Sociedad dalam divisyen tiga sehingga tahun 2017.

"Jika anda memberitahu saya (yang saya menjaringkan gol untuk Sepanyol) setahun setengah lalu, saya mungkin tidak akan mempercayainya."

Sepanyol, juara dunia 2010, akan mengharungi satu lagi aksi pemanas badan, bertemu Tunisia di Krasnodar Sabtu ini sebelum perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Portugal pada 15 Jun.

Mereka juga akan berdepan Iran di Kazan pada 20 Jun dan perlawanan terakhir Kumpulan B adalah menentang Maghribi di Kaliningrad lima hari kemudian.

Switzerland akan bertemu Jepun di Lugano Jumaat ini sebelum berangkat ke Russia. Mereka akan bertemu juara lima kali Brazil pada perlawanan pertama Kumpulan E pada 17 Jun, diikuti Serbia dan Costa Rica. - AFP
Dikuasakan oleh Blogger.