Header Ads

maskhead_ads_728x90_amanpalestin

"Bukan satu pasukan naturalisasi, cuma pada posisi tertentu" - Yusoff

TIMBALAN Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agong FAM, yang baharu Stuart Ramalingam (kanan) bercakap pada sidang media di Wisma FAM Kelana Jaya. - Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan idea pengambilan pemain naturalisasi seperti yang dicadangkan badan induk itu sebelum ini hanya untuk posisi tertentu saja dan bukan merangkumi keseluruhan skuad kebangsaan.

Justeru, Yusoff menjelaskan langkah itu diambil bukan untuk menafikan hak pemain tempatan, sebaliknya ia difikirkan sebagai langkah paling sesuai untuk meningkatkan prestasi semasa skuad kebangsaan dalam tempoh yang singkat.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan pemain naturalisasi hanya diperlukan dalam tempoh beberapa tahun sahaja sehingga skuad Harimau Malaya dapat dibentuk dengan pemain tempatan yang lebih berkualiti.

"Idea mengambil pemain naturalisasi adalah untuk kita mempercepatkan perkembangan skuad kebangsaan. Ia juga bukan untuk semua posisi, maknanya bukan kita akan ada 22 pemain naturalisasi, mungkin hanya empat atau lima pemain.

"Macam sekarang tiada penyerang berkualiti, mungkin kita perlu satu atau dua penyerang dari luar untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan.

"Jepun dulu pun guna pemain naturalisasi, tapi tengok mereka berada di mana sekarang? Kita pun tak mungkin terus pakai (pemain naturalisasi). Bila sudah sampai masa dan kita sudah ada pemain skuad pemain tempatan terbaik, kita mungkin tidak perlu lagi pemain naturalisasi.

"Tapi setakat ini memang ada pro dan kontra mengenai perkara ini. Cuma buat buat masa sekarang, kalau kita tunggu pemain kita saja, skuad kebangsaan kita mungkin akan terus ketinggalan atau lambat untuk bangkit," katanya pada sidang media di Wisma FAM, hari ini.

Idea mengambil pemain naturalisasi diluahkan Presiden FAM yang baharu, Datuk Hamidin Mohd Amin pada sesi dialog bersama penyokong, kelmarin.

Namun, cadangan itu mendapat tentangan daripada bekas pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh yang menyifatkan Harimau Malaya hanya perlu dibarisi pemain yang dilahirkan di negara ini sahaja.

Mengulas lanjut, Yusoff juga tidak menafikan langkah mengambil pemain naturalisasi sebagai tindakan terdesak FAM dalam mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara.

"Mungkin langkah ini nampak terdesak, tapi kita nampak bola ini kita bekerja untuk rakyat, jadi kita tengok sudah terlalu lama rakyat menanti sesuatu daripada skuad kebangsaan.

"Ia juga idea Presiden FAM berdasarkan kepada realitinya dan secara realistik. Tapi idea ini belum matang sebab kita perlu bincang dalam mesyuarat Exco untuk diperhalusi.

"Datuk Hamidin juga sudah mengarahkan Setiausaha Agung (Stuart Micheal Ramalingam) mengkaji perkara ini secara teknikal. Ia bukan mudah kerana perlu membabitkan banyak pihak termasuk kerajaan dan sebagainya," katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.