Header Ads

maskhead_ads_728x90_amanpalestin

FAM kemuka bantahan kepada AFF dan AFC atas isu penghinaan

STUART Ramalingam. - Foto Mahzir Mat Isa.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengemukakan surat bantahan kepada Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung tindakan melampau penyokong Indonesia pada Kejuaraan Bawah 16 (B-16) AFF 2018.

Penyokong Indonesia menghina nama negara dengan melaungkan sorakan 'Malaysia itu anjing' pada perlawanan sulung skuad B-16 bertemu Thailand di Stadium Joko Samudro, Surabaya, malam tadi.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, FAM senada dengan bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berpendapat tindakan penyokong Indonesia itu keterlaluan dan satu penghinaan yang besar terhadap nama negara ini.

"Justeru tindakan menghantar surat bantahan kepada AFF dan AFC kami lakukan dengan segera supaya dua pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya supaya perkara sama tidak berulang apabila skuad B-16 turun pada perlawanan kedua Kumpulan B di stadium sama bertemu Brunei, Jumaat ini.

"Saya harap AFF dan AFC akan bertegas dalam hal ini kerana jika diimbau semula, Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pernah didenda AFC sebanyak AS$30,000 (RM121,000) kerana tindakan penyokong kita menyanyikan sorakan menghina Brunei dan Singapura ketika perlawanan acara bola sepak lelaki.

"Tindakan dan denda sewajarnya perlu dikenakan terhadap penyokong Indonesia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Stuart mengesahkan FAM akan menghantar wakilnya ke Surabaya bagi memastikan kawalan keselamatan terhadap skuad B-16 lebih terjamin.

"FAM akan menghantar ahli Exco, ACP Md Dali Wahid yang juga seorang pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Surabaya, esok bagi membuat penilaian terhadap langkah keselamatan tuan rumah dan penganjur.

"Jika tuan rumah dan penganjur sekadar mengambil ringan berhubung isu ini, FAM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih drastik selepas ini," katanya.

Malam tadi, ketika perlawanan antara Malaysia dengan Thailand di Surabaya, penyokong tuan rumah melaungkan sorakan 'Malaysia itu anjing' dan 'Amirul itu anjing.'

Amirul merujuk kepada pemain muda, Amirul Ashrafiq Hanifah yang dituduh menghina bendera Indonesia apabila meletakkan bendera terbalik dalam Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke negara republik itu, minggu lalu.
Dikuasakan oleh Blogger.