JDT sah juarai Liga Super untuk 5 musim berturut-turut
IPOH: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan gelaran juara Liga Super buat kali kelima berturut-turut di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi apabila mengatasi tuan rumah, Perak 2-1.
Safawi Rasid menjadi wira JDT apabila meledak jaringan kemenangan pada minit ke-83 seterusnya memberikan kemenangan buat skuad dari selatan tanah air itu.
Perak yang sebelum ini mahu 'menangguhkan sedikit' pesta keraian JDT sekurang-kurangnya bukan menang di Perak gagal memanfaatkan jaringan awal Mohd Nor Hakim Hassan yang membuka jaringan pada minit ke-72.
Walaupun ketinggalan, Harimau Selatan terus mengasak dan hanya tiga minit selepas itu Hariss Harun menyamakan kedudukan.
Walaupun cuba untuk mendapatkan gol penyamaan, ia masih belum cukup buat anak buah Mehmet Durakovic, malah mereka juga mensia-siakan peluang untuk terus berada selesa di kedudukan kedua liga di belakang JDT.
"Kami melakukan yang terbaik hari, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk datang dan bermain di sini. Kami berjaya melakukannya walaupun ketinggalan dengan gol awal mereka.
"Ini adalah gelaran kali kelima kami dan kami akan meraikannya," kata Hariss.
Nada gembira turut dihamburkan pengendali JDT, Raul Longhi yang nyata lega apabila pemainnya berjaya bangkit untuk menukar keputusan malam ini.
"Pemain percaya dengan apa yang kami cuba lakukan, kami cuba menang walaupun ketinggalan. Pemain bertarung hingga 95 minit permainan sebagai satu pasukan.
"Kadangkala sesuatu perlawanan itu amat sukar. Pada babak pertama kami bermain baik tetapi tidak menjaringkan gol.
"Begitupun kami berjaya melakukannya dan kami mahu menang untuk bos, Tunku Mahkota Johor, saya tahu dia pasti gembira," katanya.