Kami akan lakukan yang terbaik tetapi kita perlu bersikap realistik
KAMI AKAN LAKUKAN YANG TERBAIK TETAPI KITA PERLU BERSIKAP REALISTIK
Di kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2019 nanti, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berkemungkinan akan mengalami kekalahan teruk. Mungkin 6-0, 7-0, 8-0, ataupun mungkin sekadar seri. Di dalam bola sepak ini, apa sahaja boleh terjadi. Pemikiran anda akan membentuk dan memberikan kesan dalam kehidupan anda. Orang yang mempunyai visi pula cara pemikirannya lain. Saya tidak nampak soal kalah atau menang dalam kejohanan ini (ACL). Tetapi apa yang saya boleh nampak adalah JDT berada di kejohanan ACL. Ia merupakan pertandingan tertinggi di dalam Asia. Untuk kelab kerdil seperti JDT ini layak ke ACL merupakan satu pencapaian yang tertinggi. Muktamad.
Persoalannya, jikalau orang mengatakan JDT memenangi kejohanan AFC yang lalu kerana nasib atau apa sahaja, JDT tetap sudah menang AFC. Tetapi dimanakah anda? Dan jikalau orang berkata JDT sertai ACL kemudiannya kalah teruk sekalipun, JDT telah berada di ACL.
Oleh itu, dalam kehidupan ini ia bergantung bagaimana kita melihat situasi atau sesuatu perkara. Kita ada pilihan untuk berada dalam sikap negatif atau sikap yang positif. Yang penting, kami berada dalam landasan yang betul. Sebelum kita ingin mempertikaikan atau mempersoalkan sesuatu kejayaan dan pencapaian orang lain, kita harus cermin diri kita dahulu dan lihat di mana kedudukan kita sebelum kita membuka mulut.
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor