Header Ads

maskhead_ads_728x90_amanpalestin

World Cup 2018: Perancis hancurkan impian besar Croatia


MOSCOW: Perancis menjuarai Piala Dunia buat kali kedua selepas menundukkan Croatia 4-2 dalam perlawanan akhir yang mendebarkan di Stadium Luzhniki, sebentar tadi.

Keputusan itu turut menyaksikan Perancis menamatkan impian Croatia untuk menjulang trofi Piala Dunia buat julung-julung kalinya.

Perancis mendahului 1-0 pada babak pertama hasil jaringan sendiri Mario Mandzukic sebelum Ivan Perisic menyamakan kedudukan buat Croatia yang mara buat kali pertama ke final.

Antoine Griezmann bagaimanapun kembali meletakkan Perancis di depan apabila menyudahkan sepakan penalti yang diberikan selepas pengadil melihat semula insiden di dalam kotak penalti menerusi video bantuan pengadil (VAR).



Jaringan pantas Paul Pogba dan Kylian Mbappe pada pertengahan babak kedua seakan sudah meletakkan kejuaraan bersama Perancis.

Namun, Mandzukic mengembalikan aksi yang mendebarkan dalam tempoh 20 minit terakhir apabila merapatkan kedudukan selepas meledak gol kedua hasil kesilapan yang dilakukan penjaga gol Perancis, Hugo Lloris.

Perancis bagaimanapun berjaya mengekang asakan bertali arus Croatia hingga tamat permainan untuk menjulang trofi buat kali kedua selepas kejayaan mereka di tempat sendiri, 20 tahun yang lalu. - Reuters



Dikuasakan oleh Blogger.