Header Ads

maskhead_ads_728x90_amanpalestin

Asian Games 2018: Pergaduhan cemari kemenangan aksi persahabatan

Akhyar Rashid beraksi cemerlang membantu skuad B23 menang 2-0 keatas UAE B23. Foto: FAM


Insiden pergaduhan dalam masa kecederaan mencemari perlawanan persahabatan skuad B-23 di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai persiapan kedua-dua pasukan ke Sukan Asia 2018 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Sungguhpun meraih kemenangan 2-0, aksi tegang kedua-dua pasukan lebih mencuri tumpuan.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee menonjolkan pendekatan positif dalam perlawanan ini meskipun pada awal permainan, UAE hampir memanfaatkan beberapa peluang tatkala barisan negara masih mencari rentak.

Penjaga gol negara, Ifwat Akmal Che Kassim, bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan lawan yang cuba memerangkap benteng negara dengan hantaran tinggi.

Begitupun, Safawi Rasid, menggegar gawang lawan dengan melepaskan rembatan deras selepas Nik Akif Syahiran Nik Mat mencuri bola daripada kaki lawan pada minit ke-27.

Akhyar Rashid hampir meletakkan kedudukan Malaysia lebih selesa, namun sentuhan akhirnya dinafikan penjaga gol. Malah, kecekapan Ifwat terus diuji dan kali ini terpaksa menepiskan sepakan percuma lawan ketika permainan menuju waktu rehat.

UAE cuba meningkatkan intensiti permainan mereka, namun pendekatan itu mencetuskan beberapa kekasaran terhadap pemain negara sebaik permainan bersambung.

Malah, sepakan percuma Nik Akif hampir memerangkap UAE tetapi bola dapat diselamatkan sebelum melintasi garisan gol lawan.

Kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang, dengan pertahanan negara mempamerkan ketenangan untuk mematahkan serangan lawan sebelum Akhyar memperdayakan empat pertahanan UAE untuk gol kedua pada minit ke-64.

Perlawanan menjadi semakin tegang apabila beberapa kekasaran mengundang bantahan daripada kedua-dua kem pasukan.

Dan akhirnya, UAE melepaskan kegeraman mereka pada masa kecederaan. Tindakan seorang pemain UAE yang menendang pemain negara, Adib Zainudin, di kawasan tengah padang ketika bola dalam kawalan penjaga golnya menyebabkan pemain-pemain Malaysia yang lain bertindak balas sehingga ia merebak membabitkan para pegawai.

Malaysia akan membuka tirai aksi dalam Sukan Asia menentang Kyrgyzstan pada 15 Ogos, disusuli pertemuan dengan Korea Selatan dan Bahrain.

-Stadium Astro
Dikuasakan oleh Blogger.