Malaysia Cup 2018: JDT perlu bangkit untuk mara
KUALA TERENGGANU: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu bangkit bagi aksi kedua di Larkin pada 20 Oktober depan bagi meneruskan misi mempertahankan piala berprestij itu. Lawannya Terengganu berjaya memperoleh bekalan satu gol untuk di bawa ke Larkin, ternyata mempunyai strateginya tersendiri untuk mara.
JDT yang dilihat menguasai perlawanan hampir 70% dengan beberapa percubaan namun kecekapan penjaga gol dan tiang jadi penghalang. Bermula pada babak pertama, Safawi Rasid mencipta peluang namun berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah.
Susulan itu juga, Gonzalo Cabrera juga mempunyai peluang keemasan namun rembatan derasnya mengenai tiang gol.
Separuh masa kedua, pasukan tuan rumah membuat percaturan baru dengan memasukkan pemain gantian. Dilihat beberapa percubaan cuba dilakukan ke arah pintu gol JDT.
Hasilnya, pada minit 78, Terengganu berjaya mencipta gol pendahuluan menerusi Malik Arif, pemain gantian yang dimasukkan oleh Jurulatihnya Irfan Bakti.
Pemain-pemain JDT juga tidak berputus asa terus mencari gol penyamaan. Peluang terhidang apabila Cabrera melorongkan bola kepada Natxo Insa, namun tolakkan Insa berjaya ditangkap kemas penjaga gol. Sekali lagi peluang menerusi tandukan Aidil Zafuan yang menyambut sepakan sudut Safawi Rasid juga sedikit tersasar.
Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Terengganu akan turun ke Larkin pada 20 Oktober depan bagi pertembungan kedua Separuh Akhir Piala Malaysia 2018 dengan bekalan satu gol. Namun ianya bukanlah keselesaan bagi skuad Penyu. Bagi JDT, perlu bangkit 100% untuk mencari gol dan mencipta kemenangan selesa di Larkin.