Ozil cemerlang bantu Arsenal belasah PSG dalam aksi pra musim
MESUT Ozil tampil cemerlang ketika membantu Arsenal membelasah Paris Saint-Germain 5-1 dalam aksi persahabatan pra-musim sebentar tadi. - Foto AFP |
SINGAPURA: Mesut Ozil tampil cemerlang ketika membantu Arsenal membelasah Paris Saint-Germain 5-1 dalam aksi persahabatan pra-musim sebentar tadi, selepas mengharungi minggu sukar di mana dia bersara daripada skuad Jerman angkara isu perkauman.
Pemain berusia 29 tahun itu meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-13 sebelum Alexandre Lacazette meledak dua gol pantas dan rembatan lewat permainan oleh Rob Holding dan Eddie Nketiah melengkapkan kemenangan ke atas skuad muda PSG.
Kemenangan dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa di Singapura adalah permulaan baik buat pengendali baharu Arsenal Unai Emery yang berdepan bekas kelabnya, kini dikendali Thomas Tuchel dari Jerman.
Ozil, diberi lilitan kapten, bergandingan baik dengan Henrikh Mkhitaryan di bahagian tengah.
Arsenal mampu menang lebih besar namun penjaga gol legenda Itali, Gianluigi Buffon cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan.
Christopher Nkunku menjaringkan gol tunggal PSG menerusi sepakan penalti selepas Timothy Weah dijatuhkan pada minit ke-59.
Ozil, pemain Jerman berdarah Turki, membuat kejutan minggu ini apabila mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa susulan kritikan berunsur perkauman yang diterimanya. - AFP