Header Ads

maskhead_ads_728x90_amanpalestin

Sumareh boleh sertai skuad Harimau Malaya jika dipilih

HAMIDIN (tengah) mengadakan sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali kelima di Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Tonggak import Pahang, Mohamadou Sumareh boleh menyertai skuad Harimau Malaya pada bila-bila masa, namun semuanya bergantung kepada pengendali pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata berdasarkan prosedur ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), mana-mana pemain yang menetap lebih lima tahun dan memegang pasport antarabangsa sesebuah negara boleh menyertai pasukan kebangsaan negara terbabit.

"Kalau ikutkan untuk menjadi pemain nasional (kebangsaan negara lain) dapat pasport dan tinggal (menetap) lima tahun boleh dipanggil, jika jurulatih pasukan kebangsaan mahukan dia," kata Hamidin selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali kelima di Hotel Hatten, di sini, hari ini yang turut dihadiri Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Mamadou Sumareh, 23, beraksi di negara ini sejak tahun 2013 bersama PDRM, sebelum menyertai Perlis dan kini bersama Pahang.

"Mengenai pemain naturalisasi ini, belum tentu diputuskan lagi kerana perlu ada kajian yang akan diketuai Datuk Mohd Yusoff yang akan ke Brazil dan Cameroon bagi melihat lebih lanjut pro dan kontra.

"Kita tunggu cadangan dulu sama ada boleh diteruskan atau tidak. Cadangan penggunaan pemain naturalisasi ini untuk kebaikan bola sepak, tetapi semuanya terpulang kepada kerajaan sama ada boleh memberi kewarganegaraan atau tidak.

MAMADOU Sumareh (kiri) beraksi di negara ini sejak tahun 2013 bersama PDRM, sebelum menyertai Perlis dan kini bersama Pahang. - Foto fail NSTP
"Pandangan saya berdasarkan persepsi bola sepak semata-mata dan opsyen ini tidak salah seperti mana dilakukan oleh Perancis dan Croatia," kata Hamidin.

Dalam pada itu, Hamidin berkata, pihaknya menetapkan sasaran realistik layak ke pusingan kedua di Sukan Asia bulan depan buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

"Kita tahu semua pasukan besar bersama skuad kita, termasuk juara bertahan, Korea Selatan. Kita perlu tetapkan sasaran lebih tinggi untuk masuk ke kelompok 16 terbaik dan akan berusaha ke arah itu," katanya.

Selain Korea Selatan, skuad bimbingan Kim Swee diundi bersama Bahrain, Kyrgyzstan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Di sebalik sasaran tinggi itu, skuad bimbingan Kim Swee masih belum mendapat jaminan sepenuhnya daripada pasukan kelab sama ada pemain yang dipanggil akan menyertai latihan pusat atau sebaliknya.

Begitupun, Hamidin mahu semua pihak bertenang dan menunggu hingga Isnin depan apabila pemain dipanggil diminta melapor diri.

"Mengikut surat pekeliling kita, pemain akan melapor diri pada Isnin, kita tunggu (Isnin ini). Selepas menyertai skuad, pemain akan menjalani latihan di China dan selepas itu terus ke Bandung, Indonesia untuk aksi Sukan Asia," katanya.

Pada saingan Sukan Asia, skuad negara akan membuka tirai menentang Kyrgyzstan pada 10 Ogos diikuti UAE, dua hari selepas itu.
Dikuasakan oleh Blogger.